Muadzam Shah Memacu Transformasi Hab Tenusu Malaysia

Pada 11 Mac 2017, saya telah menyertai media trip sempena lawatan kerja YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia ke Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah (MSCRIC). Perdana Menteri Malaysia telah mengambil peluang untuk menyaksikan kemajuan projek transformasi MSCRIC termasuk meninjau lokasi pembinaan Kilang Pemprosesan Tenusu baharu yang dijangka siap pada akhir tahun 2017.

Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah, MSCRIC,

MSCRIC Memacu Transformasi Sektor Perniagaan Tani


MSCRIC merupakan sebuah projek perkongsian awam-swasta yang dimulakan pada tahun 2012 oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan sebahagian strategi Program Transformasi Ekonomi (ETP) untuk meningkatkan pendapatan rakyat dengan menambah hasil peladang dan usahawan tani. Ia juga bagi membolehkan sektor pertanian berkembang maju menjadi industri yang kukuh selain memastikan bekalan makanan mencukupi dengan harga yang berpatutan.

Pada sebelah pagi telah diadakan sidang media bagi menjelaskan hasrat MSCRIC selaras dengan agenda transformasi negara. MSCRIC menjadi bukti kejayaan model syarikat induk ECERDC, dimana pihak kerajaan menyediakan pelaburan dan pembangunan prasarana, manakala sektor swasta mengusahakan bahagian komersil yang diterajui oleh The Holstein Milk Company Sdn Bhd (Holstein), pengeluar jenama Farm Fresh dengan penghasilan susu kira-kira 2.56 juta liter setahun.

Kami juga dibawa melawat persekitaran MSCRIC selepas sesi sidang media bagi memperolehi maklumat lanjut sebelum ketibaan YAB Perdana Menteri Malaysia sekitar jam 3 petang.

Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah, MSCRIC,
Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah, MSCRIC,

Lawatan Kerja Perdana Menteri Malaysia Ke MSCRIC


Lawatan Kerja Perdana Menteri ke MSCRIC turut disertai YAB Dato’ Sri DiRaja Haji Adnan bin Haji Yaakob, Menteri Besar Pahang; YB Dato’ Sri Ahmad Sabery Cheek, Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani; YBhg. Datuk Dr. Sharif bin Haron, Ketua Pengarah MARDI serta YBhg. Tan Sri Dato’ Azman Mokhtar, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad.

Berdasarkan fakta, industri tenusu tempatan ketika ini bergantung kepada bekalan susu import dianggarkan bernilai RM3.24 billion setahun. Bekalan susu tempatan hanya mampu memenuhi 5% permintaan dalam negara. Malaysia memerlukan 1.4 bilion liter susu setahun dan 94.4% daripada jumlah ini perlu diimport dari Australia, New Zealand, dan beberapa negara lain. Pemintaan domestik dijangka meningkat 3.2% setahun dan akan mencapai jumlah 1.9 bilion liter dalam masa 4 tahun.

Justeru, kilang Pemprosesan Tenusu baharu ini bakal meningkatkan pengeluaran MSCRIC sebanyak dua kali ganda kepada 5.36 juta liter setahun, iaitu bersamaan 9% daripada daripada jumlah pengeluaran susu domestic di Semenanjung Malaysia. Ia merupakan jumlah pengeluaran yang tinggi berbanding purata 100,000 liter susu segar setahun bagi ladang-ladang di Malaysia.

Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah, MSCRIC, Najib Razak,
Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah, MSCRIC, Najib Razak,

Bersempena lawatan kerja ini juga, Dato’ Sri Najib turut menyampaikan surat perlantikan kepada 6 orang peladang satelit yang dipilih oleh Holstein sebagai kumpulan peserta projek yang pertama. Mereka akan dilatih dan diberi panduan untuk menghasilkan susu mentah bermutu tinggi mengikut piawaian antarabangsa dan meningkatkan pengeluaran mereka sehingga 20%.

Pembangunan usahawan mikro menerusi program ‘Home Dealer’ juga turut menjadi fokus penting. Buat masa ini Holstein mempunyai lebih 300 ‘Home Dealer’ di seluruh negara yang telah dilatih menjadi usahawan mikro industri tenusu. Seramai 150 ‘Home Dealer’ daripada jumlah keseluruhan diwujudkan di ECER, dan 3 orang 'Home Dealer' paling berjaya di ECER turut menerima sijil oleh Dato’ Sri Najib sebagai pengiktirafan pencapaian dan inspirasi kepada usahawan mikro lain.

Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah, MSCRIC, Najib Razak,
Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah, MSCRIC, Najib Razak,
MSCRIC, Muadzam Shah,

Kini, jenama Farm Fresh menguasai 39% pasaran tempatan bagi kategori susu segar. Menerusi sokongan berterusan ECERDC, Holstein merancang mempelbagaikan aktiviti di kawasan seluas 240 hektar yang diperuntukkan MARDI di MSCRIC. Kawasan ini juga dijangka akan dimanfaatkan sebagai destinasi agro-pelancongan bagi membolehkan pengunjung dan pelajar sekolah mempelajari industri tenusu serta proses yang terlibat.

Lawatan yang berlangsung lebih 2 jam ini diteruskan dengan sesi media selepas jamuan makan ringan dan berakhir sekitar 5:30 petang. Saya turut berkesempatan mengabadikan gambar kenangan rakan media dan perhubungan awam yang datang bersama dari Kuala Lumpur untuk program media trip dan liputan rasmi lawatan kerja Dato' Sri Najib Tun Razak ke MSCRIC ini. 

Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah, MSCRIC, Media, Bernama, Metro, Perspective Strategies,

Muadzam Dairy Valley Sebagai Projek Tenusu Contoh ECER


Menurut Dato' Sri Najib, keselamatan makanan terus menjadi keutamaan kerajaan dan inisiatif ini selaras dengan Dasar Agromakanan Negara (2011 - 2020) bagi pembangunan rakyat yang sihat. Jika pengambilan susu segar dikalangan rakyat Malaysia ingin ditingkatkan kepada 50 liter perkapita setahun, maka negara memerlukan 2.260 bilion susu segar setahun yang dihasilkan daripada 223,014 ekor lembu tenusu.

Muadzam Shah yang bakal diberi nama ‘Muadzam Dairy Valley’ menjadi contoh kejayaan MSCRIC kepada projek tenusu yang akan datang di ECER. Rancangan sedang dibentuk untuk melaksanakan satu lagi projek integrasi bagi mewujudkan ‘lembah susu’ di Jemaluang, Mersing. Ia dijangka bakal menyumbang 4 juta liter susu bernilai RM18 juta setahun dan 60 peluang pekerjaan menjelang 2021.

Saya sertakan video ucapan YAB Dato' Sri Najib Tun Razak sewaktu sesi media sempena lawatan kerja ke MSCRIC untuk tontonan bersama.


7 comments:

  1. Alhamdulillah syukur...PC tengok liputan ni kat berita tv kalau tak silap...moga apa yang diusahakan memberi impak yang luar biasa..ameen..insyaAllah :)

    ReplyDelete
  2. Thanks for sharing. Susu Farm Fresh memang sedap-sedap especially susu kurma.

    ReplyDelete
  3. bagus...mari kita support produk tempatan

    ReplyDelete
  4. bertambah rezeki utk org muadzam ;-)

    ReplyDelete

Powered by Blogger.