Assalamualaikum. Kepentingan pendidikan digital dalam arus IR 4.0.

Dunia hari ini sudah memasuki era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0). Ia telah menjadi antara topik perbincangan hangat di pelbagai peringkat sektor industri, termasuklah dari kalangan rakan pemasar digital, peneraju dan pemain industri.

Memang tidak dinafikan, kemajuan teknologi digital yang semakin berkembang pesat ini membuka banyak peluang dan manfaat. Namun ia juga ada sisi keburukan terutamanya kepada generasi muda dan pelajar sekiranya mereka tidak disuntik dengan pengetahuan digitalisasi yang betul sebagai persediaan menghadapi gelombang era transformasi digital ini.

Berdasarkan maklumat dari kalangan warga pendidikan, rakan-rakan sesi akademik-industri sehinggalah penuntut institusi dalam pelbagai jurusan mendapati, masih ramai yang kurang faham kepentingan pendidikan digital dan hubung kait Revolusi Industri 4.0 dalam konteks akademik dan realiti industri hari ini.

Kepentingan Pendidikan Digital Dan IR 4.0

Bagi sesetengah individu, pendidikan digital dari perspektif akademik masih dianggap sekadar mengisi kegiatan kokurikulum di sekolah mahupun di institusi pengajian.

Ya.. saya akui akademik itu penting, tetapi tatkala teknologi dunia berkembang pesat, sektor akademik juga memerlukan anjakan transformasi untuk bergerak pantas yang selaras dengan tuntutan modal insan di pasaran industri tempatan dan global.

Pendidikan digital kini penting untuk semua jurusan kerana ia melibatkan pengurusan komunikasi, pengkalan data, pembangunan platform dan kandungan, pengurusan software sehinggalah pengendalian sistem teknikal, grafik dan robotik Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence – AI) serta perbagai lagi pengembangan digital.

Sebagai pemain industri yang terlibat lebih 20 tahun dalam pahit manis kerjaya, saya terpanggil berkongsi perspektif berdasarkan realiti industri masa kini, agar pelajar lebih cakna untuk bersedia mendepani cabaran sebenar transformasi digital apabila memasuki pasaran pekerjaan atau menceburi bidang keusahawanan.

Mudah-mudahan artikel ini juga menjadi nilai tambah yang bermanfaat dalam menyumbang idea kepada pemerkasaan modal insan transformasi digital.

Namun kenapa pendidikan digital ini perlu terus diadaptasi, diperkasa dan ditambahbaik oleh sektor akademik secara holistik kepada semua jurusan pengajian?

Berikut adalah penjelasan hubungkaitnya terhadap perkara ini.

Apa Itu Revolusi Industri 4.0

Mari saya terangkan secara ringkas sejarah Revolusi Industri terlebih dahulu.

Revolusi Industri 4.0 merupakan rentetan daripada sejarah pertumbuhan dan kemajuan perindustrian dunia yang berlaku bermula dari Revolusi Perindustrian pertama sehinggalah ke fasa revolusi yang ke 4 pada hari ini.

Revolusi Perindustrian 1.0 (1760 – 1860).

Adakah anda yang suka menonton cerita cowboy?

Untuk mudah cerita.. inilah era zaman cowboy. Kemunculan revolusi industri pertama bermula apabila manusia mula beralih fasa kehidupan daripada penggunaan tenaga semulajadi seperti angin, air dan haiwan untuk kegunaan industri dan kehidupan kepada tenaga berasaskan enjin wap.

Sekitar era inilah pembangunan teknologi mula mengorak langkah dan berkembang dengan terbinanya infrastruktur-infrastruktur industri yang lebih terancang seperti jaringan pengangkutan keretapi, kapal-kapal besar dan enjin-enjin perkilangan yang lebih canggih dan berkuasa tinggi.

Pada era ini, teknologi enjin berkuasa wap menjadi revolusi yang mengubah cara kerja industri sehinggalah cara hidup masyarakat seluruhnya.

Revolusi Perindustrian 2.0 (1860 – 1960)

Sekitar 100 tahun sejak bermula revolusi industri pertama, penemuan sumber petroleum telah membawa kepada penciptaan enjin yang lebih berkuasa tinggi berbanding sebelumnya. Malah, teknologi enjin berasaskan petroleum ini masih kita gunakan dengan pelbagai inovasi enjin sejak itu sehingga hari ini.

Pada era ini juga penciptaan-penciptaan teknologi baharu mula subur dan bersaing apabila mendapat galakan dan penglibatan dari para pelabur, institusi perbankan dan kerajaan. Perkembangan penciptaan-penciptaan baharu dalam revolusi industri kedua ini juga lebih dirasai di negara-negara barat dengan pelbagai ekspo teknologi dan penciptaan sering diadakan di pelbagai lokasi.

Pada era ini jugalah kuasa eletrik ditemukan. Sejak itu, pelbagai lagi penciptaan baharu seperti kereta, kapal terbang, alat komunikasi dan mesin-mesin industri yang lebih efisyen dan produktif dari sebelumnya.

Revolusi Perindustrian 3.0 (1960 – 2014)

Inilah era perkembangan teknologi menjadi semakin complicated.

Ia merupakan era penciptaan eletronik, plastik, dan bermulanya penciptaan komputer dan perisian sehingga membawa kepada pemerkasaan teknologi berkaitan informasi. Kebanyakkan kita hari ini adalah generasi yang lahir pada sekitar era ini.

Pengembangan komputer telah menemukan satu era baharu yang dikenali era teknologi maklumat atau dipanggil IT (information technology). Inilah faktor pencetus kepada pengaruh dominan perkembangan teknologi sehingga membawa kepada peralihan era IR 4.0 kini.

Revolusi Perindustrian 4.0 (2014 – Kini)

Kini, kita bukan lagi hidup pada era Teknologi Maklumat tetapi lambakan maklumat.

Ini juga adalah era digital noise.

Lebih tepat lagi, kita kini di era Internet Kebendaan (Internet of Things – IoT).

Pembangunan sistem dan mesin mula melibatkan kepentingan internet dan robotik Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence – A.I.), Pengkomputeran Awan (Cloud Computing) dan Data Raya (Big Data). Internet menjadi dasar industri yang membawa kepada persaingan teknologi super robotic dan ekonomi digital yang mengubah cara bekerja dan gaya hidup seluruh dunia.

Berdasarkan fasa perkembangan IR4.0 ini, kita masih diambang era transformasi digital.. iaitu masih diperingkat awal memasuki fasa peralihan ini. Namun perubahan budaya pasaran dan trend pengguna juga berubah dengan drastik berbanding era atau fasa-fasa kemajuan sebelumnya.

Kepentingan Pendidikan Digital Dalam Arus Revolusi Industri 4.0

Era Internet Kebendaan (IoT) ini melibatkan pengembangan daya teknologi digital dalam pemerkasaan landskap dan infrastruktur perindustrian global. Ia merangkumi transformasi dalam sektor pengurusan, perkhidmatan, perbankan, perkilangan, pembuatan, komersial sehinggalah sektor perladangan, penternakan dan seterusnya.

Agenda global menekankan; transformasi digital mampu memenuhi keperluan dalam memudahkan urusan kehidupan, menyokong daya saing industri dan perniagaan agar lebih efisyen dan kos efektif. Ia bakal mengubah cara bekerja masyarakat secara global serta turut mempengaruhi budaya atau trend gaya hidup seharian.

Namun ia turut menegaskan tentang mengurangkan kos tenaga manusia disamping meningkatkan produktiviti serta kecekapan operasi dalam pelbagai sektor industri.

Pendidikan Digital Dan Realiti Industri

Malaysia juga turut menerima kesan revolusi global ini.

Inovasi sistem pendigitalan yang semakin pesat mendorong pelbagai sektor industri di seluruh dunia berlumba-lumba membangunkan mesin-mesin robotik berteknologi tinggi bertaraf super robots.

Tujuan utama adalah untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti secara lebih kos efektif. Peralihan cara kerja ini semakin berkembang merangkumi persaingan produktiviti, landskap pasaran dan tadbir urus sistem pengurusan dan komunikasi. Sudah pasti, ini memerlukan kemahiran dalam pengendalian digital sama ada untuk skala individu mahu pun di peringkat organisasi.

Pengembangan kemajuan sistem teknologi digital juga memudahkan penggunaan data dalam skala meluas dan global bagi melancarkan pelbagai kerja dengan pantas dan penjimatan kos yang efektif.

Namun disebalik kemudahkan dan manfaat kepada seluruh manusia, kemajuan era transformasi digital ini juga mecetuskan gangguan (digital disruption) yang mula mengubah keperluan pasaran kerja terhadap sumber tenaga manusia dan menyebabkan peluang pekerjaan semakin berkurangan. Kebanyakkan industri mula memandang sumber tenaga berkemahiran tinggi dan celik digital untuk mengisi kekosongan sumber manusia yang diperlukan.

Bagi sektor perniagaan dan keusahawanan, persaingan teknologi digital juga turut mempengaruhi pelbagai faktor sistem pengurusan, kewangan, operasi dan pemasaran, malah tuntutan terhadap pengetahuan digital (digital efficiency) dikalangan kakitangan dan juga pengusaha.

Justeru, sama ada seseorang individu itu terlibat sebagai pekerja atau pun majikan, pengetahuan teknologi digital merupakan aspek penting dalam cabaran Industri 4.0.

Pemerkasaan Pendidikan Digital Dalam Akademik

Pemerkasaan akademik semestinya ditambahbaik dengan menyerapkan elemen digitalisasi dalam ‘mainstream’ pembelajaran sebagai tuntutan penting. Ia pastinya membantu pencapaian pelajar disamping mendidik minda mereka untuk lebih bersedia terhadap persaingan kerjaya dan kehidupan masa hadapan.

Kini, kesan IR 4.0 juga boleh kita lihat dengan lambakan graduan bersaing untuk peluang pekerjaan yang semakin meruncing. Pihak majikan mahukan lebih daya saing dan kos yang efektif. Pekerja pula mahukan pelbagai tuntutan ’employment law’.

Maka, majikan dan industri pasti mahukan yang terbaik dengan menyokong percambahan Revolusi Industri 4.0. Sistem robotik seperti A.I. tidak memerlukan cuti atau rehat seperti tenaga manusia. Bagi sesetengah perkara, ia menjadi persaingan dalam pasaran pekerjaan sekiranya seseorang individu tidak mempunyai asas dalam memahami cara kerja, pengendalian sistem robotik dan komunikasi digital.

Bagi sesetengah graduan pula, mereka memilih menceburi bidang keusahawanan sama ada berskala kecil atau sederhana. Kerajaan juga telah menyediakan pelbagai inisiatif galakan keusahawanan dikalangan generasi muda sebagai antara solusi ekonomi dalam menangani cabaran IR 4.0 ini.

Apa jua hasrat dan aspirasi individu sama ada bekerja atau menjadi usahawan, kesemuanya perlu menerima hakikat bahawa pengetahuan pendidikan digital menjadi tunggak pengetahuan dalam memastikan pencapaian akademik dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk pengukuhan kerjaya satu hari nanti.

Dunia semakin hari semakin berubah.

Kini telah bermula era yang terus berkembang dalam kadar yang sangat pantas. Era Internet Kebendaan, Kecerdasan Buatan dan Pengkomputeran Awan menjadi dasar penting dalam pembangunan ekonomi digital di seluruh dunia.

Oleh itu, persediaan akademik terhadap kepentingan pendidikan digital dalam arus Revolusi Industri 4.0 sememangnya amat perlu bagi memenuhi tuntutan industri. Fungsi sektor akademik dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi juga amat penting bagi mendepani cabaran ekonomi digital negara dalam pelbagai sudut sektor industri kini dan masa hadapan.

Baca lagi: Impak Revolusi Industri 4.0 Terhadap Mahasiswa

Subscribe Newsletter:

19 Thoughts to “Kepentingan Pendidikan Digital Dalam Revolusi Industri 4.0”

  1. Teknik pembelajaran sekarang bukan setakat di dalam kelas. Semoga pendedahan seperti ini dapat menjadikan pelajar kita lebih kompetitif.

    1. Betul tu.. sekarang tak macam dulu. Generasi muda dah didedahkan dengan pelbagai info sedari usia muda melalui internet dan media sosial. Menjadi tanggungjawab kita juga untuk memberi pendedahan sewajarnya tentang realiti hidup bermula sewaktu mereka masih belajar lagi.

  2. Memang berbeza teknik pembelajaran kita dengan generasi sekarang ni. Seingat Ana, masa darjah 6 dulu baru kenal komputer tu pun guna kongsi berdua. Silibus sekarang pun boleh buat mak ayah tergaru kepala nak mengajar. Hehe

    1. Mmg betul tu, tambahan lagi pengiraan sekarang termasuk aktiviti kokorikulum seperti penglibatan sukan dan baju berunifom. Jadi sebaiknya diperkasakan pembelajaran sosio akademik sbg satu langkah pendidikan kini.

  3. Semoga kemudahan yang tersedia dapat melahirkan ramai insan cemerlang…

    1. Mudah2an juga generasi kini masyarakat kita tak ketinggalan dgn arus persaingan global, in shaa Allah.

  4. moga manfaat yg tersedia ni dpt digunakan sepenuhnya utk raih ilmu sebyk yg boleh

    1. Mudah2an, in shaa Allah.. moga ada manfaatnya utk pemerkasaan ummah.

  5. Pendidikan merentasi kurikulum..mmg terbaik

    1. Betul tu.. in shaa Allah, terima kasih.

  6. Akademik Dan teknologi digital. Kalau dulu dapat menguasai Akademik itu yang terbaik. Namun seiring waktu banyak yang memilih khidmat teknologi dalam segenap urusan atau pengurusan..maka mahu tidak mahu menguasai teknologi digital itu bukan lagi kemahuan tapi keperluan. Lebih-lebih lagi ketika mahu mengisi peluang pekerjaan.

    1. Setuju tu PC.. mmg sekarang perubahan cara kerja pun pantas berubah. Mmg susah juga jika tiada kemahiran digital ni apatah lagi jika tiada asas langsung.. setiap majikan pun pasti mahukan tenaga kerja yg efisyen dan kos efektif.

  7. […] Baca lagi: Kepentingan Pendidikan Digital Dalam Arus IR4.0 […]

  8. […] Baca lagi: Kepentingan Pendidikan Digital Dalam Arus IR 4.0 […]

  9. […] Baca lagi: Kepentingan Pendidikan Digital Dalam Arus Revolusi Industri 4.0 […]

  10. […] perniagaan dan industri semakin mula sedar tentang keperluan memahami elemen Revolusi Industri 4.0 dengan lebih […]

  11. […] Baca lagi: Kepentingan Pendidikan Digital Dalam Arus Revolusi Industri 4.0 […]

  12. […] Baca lagi: Kepentingan Pendidikan Digital Dalam Arus IR 4.0 […]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.